Tuesday, January 22, 2019

Perkembangan yang terdapat di dalam Busy Book

Perkembangan yang terdapat di dalam Busy Book kami ialah perkembangan bahasa, perkembangan awal matematik dan perkembangan psikomotor halus

Kita tahu bahawa perkembangan bahasa itu melibatkan bila dan bagaimana kanak-kanak belajar bercakap dan memahami apa yang didengar. Kita sedar pentingnya perkembangan bahasa untuk kanak-kanak berkomunikasi, meminta keperluan harian, dan berkongsi pengalaman. Apa yang tidak disedari ramai adalah perkembangan bahasa merupakan asas penting dalam kemahiran membaca dan menulis.

Kanak-kanak yang mempunyai kemahiran bahasa yang baik lebih mudah mempelajari kemahiran membaca dan menulis. Malangnya yang sebaliknya juga adalah benar. Kajian menunjukkan kanak-kanak yang mempunyai kemahiran bahasa yang lemah atau kecelaruan pertuturan dan bahasa sukar mempelajari teknik-teknik untuk membaca dan menulis. Ini kerana mereka tidak mempunyai asas atau kemahiran literasi awal yang terdiri daripada kemahiran bahasa. Jadi melalui Busy Book ini kanak-kanak dapat mengasah keupayaan untuk berkomunikasi sewaktu bermain. 

Kanak-kanak mempelajari matematik melalui aktiviti harian. Mereka menemukan perkaitan matematik dalam kehidupan harian mereka semasa mereka meneroka ruang, membandingkan jumlah dan mengasingkan alatan dan objek. Tahukah anda bahawa permainan yang kita main bersama bayi dan kanak-kanak boleh mengalakkan pembelajaran awal matematik?

Kanak-kanak belajar melalui bermain dengan pelbagai objek. Sebagai contoh, di dalam Busy Book kami, kanak-kanak mempelajari cara mengikat tali kasut sambil menyebut nombor yang terdapat pada kasut tersebut. Mereka mempelajari konsep-konsep awal matematik seperti saiz, besar-kecil, tinggi-rendah, laju-perlahan, berat-ringan, dan sebagainya. Dengan membantu mereka mempelajari konsep tersebut, kita telah membantu mereka mempelajari kemahiran awal matematik.

Kemahiran motor halus adalah kemahiran yang melibatkan pengawalan otot-otot kecil pada tangan, pergelangan tangan, jari-jari tangan, kaki, jari kaki, bibir dan lidah. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini motor halus juga melibatkan koordinasi pergerakan otot kecil dan organ deria seperti pergerakan pada jari tangan dan koordinasinya dengan mata.   Dalam meningkatkan kemahiran motor halus ini, kanak-kanak akan berkebolehan melakukan aktiviti harian mereka sendiri. Contohnya kanak-kanak yang berumur 3 tahun dapat menggunakan sudu dengan betul. Bagi kanak-kanak yang lebih besar seperti berumur 5 tahun, mereka mungkin telah dapat menggunakan gunting untuk memotong kertas dan membuat bentuk. Manakala kanak-kanak yang berumur 6 tahun mereka berkebolehan mengikat tali kasut mereka.  Kemahiran kanak-kanak menggunakan gerakan tangan dan jari untuk melakukan sesuatu aktiviti dinamakan ‘dexterity’. Kemahiran ini turut melibatkan kebolehan mengkoordinasi mata dengan otot kecil tangan. Kemahiran ini paling banyak digunakan dalam proses tumbesaran kanak-kanak. Semasa kecil kanak-kanak telah mula belajar untuk memegang sesuatu pada tapak tangan mereka. Perkembangan ini berterusan sehingga mereka dapat menulis, melukis atau melakukan tugasan seperti memasang butang baju atau mengikat tali kasut dengan baik.

No comments:

Post a Comment